Quantcast
Channel: Ni Blog Yati
Viewing all 58 articles
Browse latest View live

Knitted monster

$
0
0
Projek knit-a-long group knitting (kait 2 jarum) kat FB.

Dah lama siap. Masih on going projek ni. Tarikh akhir tak silap pada 30 ke 31 Disember ni, last untuk submit monster.

Tak pasti monster saya ni ada ropa monster tak. Monster tak berapa nak ganas. :)


Apa nama stitch kat atas ye? Ladder ke, mattress stitch ntah... Untuk cantum 2 knitted pieces, biasanya saya jahit seperti di atas, invisible jahitannya. 


Haa.. inilah monster yang sudah siap. Nama dia, monster jambu berambut blond. Hehe..


Rambut panjang tapi ciput je. 

Apa nak cerita lagi ye? Ha, semalam kami pi family day ofis suami saya. Terletak di Murni Camp, Gopeng, Perak. Pergi pagi, balik malam. Tak bermalam pun. Tapi the best family day ever, dapat cuba flying fox, dan white water rafting. Peh... saya sendiri pun tak sangka, seronok rupanya naik bot, mendayung menyusuri sungai yang berombak-ombak tu. Itu la dia, kalau kita tak cuba sendiri, tak tahu kan. Malangnya tiada gambor, sebab aktiviti pun memang basah, tak bawak segala gajet dan jam, juga hari pulak hujan. Nak kesana kena naik lori, ala pekerja estet. Anak-anak pun suka. Saya recommend bawa family pergi holiday sini. Chalet pun ada. Facebook depa ada, blog pun depa ada, youtube pun depa ada. Google je Murni Camp Kampung Jahang Gopeng Perak. Two thumbs up!! ^_^

Jumpa lagi ye.
Take care semua...

http://yatiandstitch.blogspot.my/



Hasil sepanjang tahun

$
0
0
Saya nak tulis satu entri di hari terakhir tahun 2015.

Semenjak dua menjak ni, sibuk dengan persiapan anak ke sekolah. Semalam Amirul ada orientasi Form 1 kat sekolah dia. Lepas tu, siapkan korje membalut buku teks Hafizan dan Sulaiman. Amirul boleh buat sendiri, lagipun dia kata buku teks dia semua ok, sudah berbalut. Esok nak pergi beli buku latihan Hafizan dan Sulaiman. Ada 2 hari je buka untuk dibeli. 

Sulaiman ada baki nametag dari tahun lepas, jadi dah boleh lekat terus.

Jahit nametag dan lencana
Amirul belum dapat lagi lencana. Hafizan tunggu dulu, tunggu dapat vest pengawas, mungkin tak perlu jahit lencana pun, macam Amirul tahun lepas.

Lepas ni rutin seperti biasa bermula semula. Huuuu... kuatkan semangat... 

Saya nak share hasil kraftangan yang terhasil sepanjang tahun 2015 ni. Marilah kita tengok...


Alamak, ketinggalan 1 gambar blanket ripple dalam collage di atas. 2 ripple blanket dalam setahun. Satu sebagai ready stock, satu lagi tempahan customer. Fuh... boleh tahan yek... saya nak cuba untuk hasilkan lebih banyak, tapi kederat tu kadang tak ada. Bila anak start sekolah, saya pun sibuk, jadi driver, urus rumahtangga, etc. Tapi akan cuba hasil lebih banyak kraf, seiring dengan stok benang yang semakin banyak...

Kiri benang local, kanan benang import. Masih ada ruang kosong untuk tambah stok benang import. Hehe... ops.. Astaghfirullahalazim...
Bestnya tengok benang. Saya suka. ^_^

Tahun 2016 ni lagi mencabar pada saya, sebab 2 yang kecik sekolah sesi pagi, manakala yang sulung sesi petang. Penuh 1 hari. Might be kelam-kabote mula-mula, tapi kena susun jadual elok-elok, yang pagi ngaji seperti biasa, tapi yang petang plan nak selit after maghrib untuk ngaji. 

Semoga Allah beri kita kekuatan, pada saya, pada kawan-kawan semua, ibu-ibu, bapa-bapa, untuk laksanakan tanggungjawab kita sebaiknya. 

Saya sangat bersyukur tahun ni, banyak kesenangan diberi, semoga Allah tetapkan hati untuk ingat yang kurang nasib baik di saat kita bernasib baik. 

Suatu hari, mengadap Nando's
Last sekali makan Nando's, lebih kurang 13 tahun dulu kot, masa masih kerja kat KL. Ish ish ish.. sedapnya.. 

Itu je la kot nak tulis. Selamat membuat persiapan kembali ke sekolah ye..
May the force be with us...

Jumpa lagi... 

http://yatiandstitch.blogspot.my/

Knitted pencil case

$
0
0
Mula-mula, susah bagi saya. Saya letih. Maksud saya, bila start sekolah ni. Barulah saya sedor kenapa ada ibubapa yang pilih bas untuk hantar dan ambik anak sekolah. Sebab letih sebenornya kerja mengambil dan menghantar anak sekolah ni. Kalau 1 sesi mungkin ok sikit, tapi kalau 2 sesi, letih mak. Ada hari depa keluor awal, kena hantor yang besor awal, supaya kecik tak menunggu lama. Pengajaran pertama: (Saya bercakap dari sudut housewife, bagi ibu bekerja, lain cerita)

1) It's ok untuk outsource korje hantor dan ambik anak sekolah. Ye, kena bayor lebih, tapi jimat tenaga dan tenaga yang dijimatkan itu boleh guna untuk benda lain seperti masak dan mengemas. Tenaga = energy, yakni benda paling berharga untuk kita jalankan tanggungjawap kita. Timing juga sangat penting. 

Break the record. Ye, minggu pertama dah hilangkan buku teks. Adoi, bertuah punya anak. Dia kata ada orang amik, sebab hilang sekelip mata atas meja. Tanya kawan sekeliling, sorang pun tak ngaku nampak buku dia. Puas kami ke semua kedai buku mencari buku teks yang hilang untuk gantikan. Tapi, gagal, takde dijual. Yang ada jual pun, bulan 3 baru stok baru mungkin sampai. Tiada jalan lain, jumpa cikgu kelas. Jumpa cikgu spbt. Malu mak nak, cikgu gelak, 3 hari sekolah buku teks dah hilang. tarappa.... anak nak belajor, kena hilangkan rasa malu. Mula-mula kena ganti buku baru. Tapi bila dah story kami dah cari dan tak jumpa, boleh bayor dan dapat buku baru. Lega, bayor dan isi borang buku. Penting buku, susah hati kalau takde, macamana anak nak belajor. Bila dah dapat buku teks baru, aik... ada kawan pulang balik, kata dia tak tau camana buku anak boleh ada pada dia. Terambik kot. Adoiiii.... bertuah betul. Pulang balik buku yang baru terima. Cikgu bagi balik duit.  Pengajaran kedua.

2) Tulis nama guna pen di senarai peminjam skim pinjaman buku teks. Selalunya ada di page paling belakang. Balut buku. Dan tulis nama guna marker atas plastik pembalut atau tampal sticker nama atau sebagainya. Kita bukan conteng buku, kita tulis nama je atas plastik balut buku, cikgu tak marah punya. 

Sorang lagi tak dapat buku. Dia tak tau buku tu dia belum dapat. Macamana nak tahu, sebab yang susun buku dia adalah saya. Pengajaran ketiga.

3) Kalau anak dah masuk tahap 2 tu, tak yah la tolong dia susun buku ikut jadual. Bior la dia buat sendiri. Bior la dia buat kerja lambat dari lepas zohor sampai nak maghrib. Asalkan dia susun sendiri dan kenal buku-buku dia. Mana yang ada, mana buku kerja yang cikgu belum bagi, dia tahu, kalau dia buat sendiri. 

Gitulah kaedahnya. Setengah benda kita buat sebab kita sayang anak, kesian anak. Tapi sebenornya benda tu kita tak perlu buat pun, supaya dia belajor berdikari. Buat sendiri. 

Fuh.... sekian maklumat terkini hiburan sensasi, mari kita cerita tentang hasil kraftangan pulak.

Projek knitting, yakni kait 2 jarum. Mood back to school, jadi saya pun buat la pencil case. 


Lega sikit dapat mengait. Satu terapi. Satu masa untuk diri sendiri. Walaupun ada kala bawa dalam kereta, sambil menunggu anak habis sekolah.

Bila dah panjang sikit

Masa menjahit lining. Saya jahit tangan je untuk lekat pada knitted pieces. Tapi kain lining tu, saya jahit mesin.


Sudah siap. Knitted pencil case. Saya masukkan dalam kedai dah.


Macam tak berapa lawa pulak bila tutup zip. Rasa macam kena jahit lebih rapat kot dengan zip. Saya bior jarak sebab takut sangkut knitted pieces tu bila buka/tutup zip. Takpe, lain kali boleh coba tengok camne, kalau jahit lebih rapat dengan zip tu, dia sangkut tak, atau nampak lebih cantik tak. 

Sekian cerita saya. Bukan ada anak masuk tahun 1 pun. Tapi kelam kabut juga. Tapi sekarang dah ok. Dah boleh adjust timetable dalam kepala. Pengurusan masa, dan take it easy. Niat buat kerana Allah, dan semoga Allah lindungi anak-anak kita di sekolah serta memudahkan mereka menuntut ilmu. Insya-Allah...

Jumpa lagi ye, take care... ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Pencil case lagi...

$
0
0
Kesinambungan tak puas hati hari tu, pasal knitted pencil case yang berzip. Saya pun buat la pencil case lagi. Projek jahit. Akhirnya saya baru tahu macamana nak guna tapak zip untuk mesin jahit tu dengan betul. Hehe.. apedaaa... 


Yeh.. saya sangat suka. Patutla tapak zip tu dibuat sedemikian rupa. Supaya kita boleh jahit dekat dengan zip tu. Saya juga rasa saya ada idea camana nak aplikasikan untuk projek kait lain kali yang ada guna zip. 


Itu la dia, saya budak baru belajor. Disebabkan suka dengan hasil pencil case ni, yang saya rasa kemas banding yang pernah saya hasilkan dolu-dolu, saya pun buat la lagi...


Suka, suka... ^_^

Ok, cerita lain pulak. Ada satu tempat sarapan sini, letaknya di Kampung Sitiawan. Tempat makan roti canai, nasi lemak, minum kopi, sambil tengok matahari naik. Tenang je datang sini. Tengok nelayan balik dari laut, pergi ke laut...



Kalau kami pi sini, lepas hantar anak pi sekolah la. Kalau hari minggu, ramai, susah cari tempat duduk, sebab penuh. Hari kerja, kalau awal pagi camni tak ramai. 

Cantik ye.. tengok sunrise. 

Ok la.. sehingga kita jumpa lagi... selamat ye semua...

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Pencil case lagi dan granny square

$
0
0
Ni apehe ni.. tak abis-abis pencil case. Kali ni, pencil case yang ditempah orang laa... hehe... untuk orang kat KL, berikut pencil case yang telah dijahit...


Selamat dah pos KL, 4 biji kesemuanya...


Baru boleh jahit pencil case, lubang hidung dah kembang. Lagi-lagi, ada pulak orang minat. Itu belum lagi pandai jahit baju kurung. Peh.. mesti di awang-awangan. 


Seronok pulak tengok pencil case beratur macam ni, campur hasil yang mula-mula dulu.. Saya suka.... Alhamdulillah....

Hasil jahit je ke.. hasil kait tak de? Ada, ada... sat.. saya baru start ni...


Granny square. Rasa ada banyak benang lebihan projek lepas-lepas yang tak berapa nak panjang. Jadi, itulah dapat idea nak mencoba granny square. Baru je beberapa kotak, tapi kena letak tepi dulu, sebab ada tempahan beg crochet pulak.. Alhamdulillah... Apa-apa perkembangan terkini projek granny square ni, saya akan update kat sini.

Saya dok kemaskini file, terperasan gambor lama. Rasa macam dah besor dah anak-anak ku ini... 


Ish.. ish.. rasa macam baru hari tu Amirul darjah 1...
Lagi satu pulak, sebab ada pergi tempat yang dah lama tak pergi. Ni sebab nak pi Nagoya di Tesco Station 18, Ipoh. Peh.. sampai ke Ipoh saya pergi cari kain, untuk jahit pencil case tu. Sini ada Kamdar, tapi saje makan angin sana... tengok-tengok Encik Ultraman ni ada lagi ropanya...


Hehe.. gambar Hafizan dan Amirul dengan Ultraman. 
Gambor Sulaiman nanti.... tengok mana gambor sesuai buat perbandingan macam ni, hehe...

Baiklah.. selamat bercuti ye.. seminggu cuti raya cina... yeh....
^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Crocheted Beg Gemuk

$
0
0
Lebih kurang 3 tahun kot, last sekali yati kait beg gemuk ni. Dah lupa dah pattern dia, dan camana jahit lining dia. Refer balik nota lama. 

Beg gemuk atau fat bag ni adalah tempahan customer. Jom kita tengok.


Gambar kat atas masa nak jahit lining. Beg ni bila dah siap kait, dia tak flat, bentuk dia macam mangkuk. Kena jahit lining dia dulu, baru boleh kait handle bag tu. Nampak tak fat bag yang Yati gantung kat gambor kat atas? Tu cubaan pertama buat, tapi saiz dia kecik, tak muat letak tupperware square, tupperware bulat yang kecik tu je yang muat. Tapi customer nak buat beg ni sebagai letak lunchbox anaknya ke sekolah. Jadi, ni cubaan kedua. Yang uniknya bag gemuk ni tu ler, kita buat lining dulu, baru buat handle. Kalau beg pattern lain, kita boleh test dulu. Kalau tak muat, kita boleh tambah je stitches bahagian body beg. 


Ni benang yang Yati guna. Purple dan pink, warna pilihan customer. Bila kita amik punca benang dari tengah, camtu la rupanya, benang tu berlobang kat tengah. Tapi benang tu dok diam, tak golek sana-sini, jadi sekarang sudah suka ambik punca benang dari tengah buku benang.


Yeh.. dah siap beg gemuk. Meh kita test tengok...


Yeh... muat letak tupperware square saiz standard. 


Selamat dah bag ni sampai ke customer. Alhamdulillah, customer share gambor anaknya happy terima beg. Yati lagi lah happy berdouble-double bila customer suka. ^_^
Thank you, sudi order beg dari Yati ni. 

----------------------------------------------

Yati nak share beberapa gambor matahari naik, yang Yati sempat ambik masa pi berjalan exercise. Lokasi di Lumut Esplanade. Aman damai sini. 



Rasa lebih waras dan happy bila dapat jalan atau joging. Tapi ada hari rasa malas giler! Tu ler, kena lawan rasa malas tu kan.

Tu je untuk kali ni. Kita jumpa lagi ye.
^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


santau?

$
0
0
Kalau boleh saya tak nak cerita benda yang tak elok kat blog ni. Tapi benda realiti. Lagi pun, sementara benda masih segar di ingatan, baik saya tulis.

Semalam lepas beli barang, dok minum sat kat mamak ngan suami. Sedap menghirup air limau panas, ada bunyi kaca pecah, selang beberapa meja. Saat tu, kaca melayang. Ada yang sampai ke kaki saya. Mata saya pada ketika itu pada air saya, cuma dapat cerita dari sudut ekor mata. Ingat ke, ada keta langgor pagar rel mamak ni, kena headlight keta, pecah ke. Tapi gelas minuman yang pecah. Pecahnya bukan pecah sopan, tapi pecah meletup. Burst. Meja yang ada gelas meletup tu ada 2 orang pompuan. Sorang dok lap-lap ngan tisu tangan dia yang basah. Sorang lagi macam tercengang sambil tangan pegang handphone. Chinese couple tak jauh dari meja situ pun tengok juga. Semua mata tengok meja tu. Semua muka pelik.Theme 'Twilight Zone' bermain-main dalam kepala saya.

Cepat-cepat 3-4 orang mamak datang ke meja tu, sorang bawak kain buruk lap, sorang bawak mop, sorang bawak penyapu dan penyodok, sorang lagi suruh customer pompuan 2 orang tu pindah meja lain, sebab dia orang nak cuci, banyak kaca kecik-kecik kat situ, atas meja, atas lantai. Pompuan yang pegang handphone tu cakap sikit dengan mamak tu, dan blah dari situ. Tak bayor. Kawan dia pergi basuh tangan kak sinki, dan blah juga. 

Pertama kali tengok benda berlaku depan mata. 

Seseorang pernah cakap, jangan makan kat Pantai Remis. Tapi kejadian di atas berlaku di Manjung ye. Bila nak pi Taiping dari Lumut, lalu jalan Pantai Remis. Orang yang pesan tu, dok kat Pantai Remis. Dia sendiri tak makan luor. Makan kat rumah je. 

Seseorang pernah cakap, tuan punya ilmu tu kena lepas juga, setahun sekali. Kalau tak, ilmu makan tuan.

Saat kecanggihan teknologi ni, masih ada benda ni. 
Semoga kita semua dilindungi dari benda-benda tak baik ni. Mintak jauh dari kita, keluarga kita dan kawan-kawan kita. 

Wallahualam...


Knit topi dengan butang

$
0
0
Bila ada orang order benda yang kita tak pernah buat, rasa takut nak terima order. Tapi kena sahut secara positif. Kalau kita tak cuba, kita tak tahu sampai mana kemampuan kita. Kita boleh cuba. Itu la yang berlaku kat saya sepanjang 2-3 minggu ni.

Ada tempahan topi knit, yang ada butang. Saya cuma pernah knit topi biasa, tak pernah yang ada butang. Jadi, saya cuba la buat. Banyak kali, kait, bukak, kait, buka. Kadang rasa nak give-up, tension. Tapi tu la dia, knit ni kena enjoy dan tak boleh push la, saya rasa. Bila kita buat silap, kita belajar dari kesilapan kita, dan coba elak next try. 


Ni masa mula start knit topi. Bahagian ribbing. Saya guna jarum circular. Saya dah beli lama dah jarum brand Aero ni, beli kat Haby and Wool, Ampang Park. Sekurang-kurangnya, ada kenangan dari kedai ni. Dia nak tutup kan, Ampang Park tu, sebab nak buat projek MRT tu, kan.

Saya pernah guna jarum circular Aero ni dulu, tapi tak pernah guna sampai habis, sebab jarum metal, benang senang nak slip terkeluor. Entah kali ni, ok la pulak. Berkat praktis banyak kali dulu kot, guna jarum circular bamboo yang beli kat daiso. Macam lari la jugak. Nak lari marathon, kena praktis. Kalau hari-hari praktis, baru kaki tu tak sakit, kan. Macam sama tau, konsep knitting ni dengan hidup kita. 

Ok, ok.. berbalik pada topi knit.


Ni masa dah selesai bahagian ribbing, nak masuk bahagian body pulak.


Haa.. dah semakin menjadi nampaknya. Disebabkan jarum circular saya panjang, 80 cm kabelnya, saya guna magic loop method. Kiri dan kanan ada loop, bila mengait, macam telinga pun ada ropanya. Gambar tiada untuk menunjukkan situasi magic loop tu, sebab time knitting kena concentrate, tak leh amik gambor. Huhuhu.. walau pun dok depan tv, tapi tak boleh tengok tv. Dengor suara je. Takut benang ter-slip. Hati-hati di jalanraya orang kata.


Bila dah cukup panjang bahagian body tu, boleh la start decrease stitches.


Sampai la satu tahap di mana stitches kita terlampau kurang dan rasa ketat untuk diteruskan jika knit guna jarum circular ni.


Tiba masa untuk transfer stitches ke double pointed needles dan terus ke bahagian atas topi. Ini pertama kali saya knit guna double pointed needles tau. Saya sebenornya takut sangat dengan double pointed needles (DPN) ni. Bila saya tengok orang knit stokin guna DPN, saya rasa ya Allah... nampak complicated sangat! Dah la dua-dua hujung jarum tu boleh benang terkeluor. Tak ke scary tu? Tapi kena sahut cabaran, belum cuba belum tahu. Bila dah cuba... waaa... ok jugak. Dia lagi senang daripada guna circular needles. Sebab dia tak payah magic loop method. Dengan sendirinya dia semakin mengecil bila stitches kita makin kurang. Waaah... saya sangat suka! Mungkin lain kali saya boleh terus knit guna DPN terus, tak yah guna circular needles. Lain kali naaa... kasi siap ini order customer dulu. DPN tu brand Birch, beli kat Spotlight Ampang Point, last year. Yeah.. 


Lepas selesai knit topi, jahit butang dan siap! Mari kita test atas kepala orang.


Muat topi ni, dipakai oleh tuan punya kepala paling besor dalam rumah. Kepala anak sulung saya ni lagi besor dah dari kepala bapak dia. Aritu bapaknya ke kedai nak beli pakaian kadet bomba, sebab budak ni sekolah petang, test guna saiz bapak dia, termasuk beret. Ingat ke muat beret, tapi tak celuih! Ish.. ish.. kena pi kedai, minta saiz beret lagi besor. Ok ler tu, topi tu.. dia malu jadi model, tu dia tunduk muka, terus gambor atas jadi blur. Nampaknya, mama kena beli kepala patung lelaki le pulak, untuk jadi model. Topi ni untuk lelaki sebenornya.

Haa.. dah siap ke tempahan customer? Belum lagi, sebab topi di atas sebagai prototaip je. Huhu.. saya akan share hasil sebenornya bila customer dah selamat terima topinya. Haa.. sebenornya customer nak topi ada butang dan ada nama. Saya ingat nak guna method duplicate stitch, yakni sulam atas hasil knitting, untuk buat nama tu. Tapi.. tak menjadi pulak dalam kes saya. Jadi, topi yang sudah siap ni saya gunakan sebagai panduan untuk hasilkan topi sebenor. Di mana, saya boleh agak dah nak fair-isle kan terus nama tu kat mana. Apakah kesudahannya... akan bersambung di lain entri.. hehe.. 

Jumpa lagi ye... take care semua.. ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/



Knit topi ada butang dan nama

$
0
0
Kesinambungan dari entri sebelum ni, yakni di sini.


Bila sudah draf nama atas kertas, mula la kait. Pada mulanya, dalam gambar di atas, saya nak cuba method duplicate stitch, iaitu sulam atas knit stitches. Tapi, kalau ikut cara ni, besor satu huruf tu boleh sampai ke bahagian atas topi. Huu.. tak sesuai...

Jadi, saya pun mulakan projek baru, dan *fair-isle terus nama semasa knit topi. Topi yang dah siap tanpa nama ni, saya dah masukkan kat kedai.

*Fair Isle is a traditional knitting technique used to create patterns with multiple colours.

Ikut je draf huruf yang telah dibuat. 



Gambar di atas masa saya dah sampai bahagian atas topi. 




Dah pun siap... lega..




Begitulah hasil kait saya, topi dengan butang dan ada nama. 

Sudah pun pos pada customer. Semoga customer berpuas hati.

Cuti sekolah ni. Seronok la pada yang pi holiday atau balik kampung. Kami dok kat rumah je. 
Pagi tadi saya menebas. Rumput dah tumbuh macam hutan. Penat mokcik. 

Baiklah, pada yang nak pi mana-mana, be safe. Selamat bercuti sekolah pada anak-anak. ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Topi knit hijau cotton

$
0
0
Kebetulan pula, termasuk yang ini, ada 3 dah topi hijau yang saya knitted. Benang ada macam-macam color, tapi yang saya pilih, color hijau jugak. Hmmm... [garu kepala].

Hasil dari tempahan customer, saya jadi teruja nak try kait topi guna double pointed needles (DPNs) dari mula. Ni lah julung-julung kalinya saya cuba buat. Sebelum ni, saya guna jarum circular dari mula, dan bertukar ke DPNs bila sampai bahagian atas topi. Jom kita tengok...


Saya guna benang Passionknit Vintage Breeze Kiki 100% cotton, yang dibeli kat Spotlight Ampang Point. Antara sebab saya knit topi cotton ni juga, sebab niat nak join projek amal kelolaan kawan kait, Precious Craft by Zurainny, tapi hajat tak kesampaian, sebab saya knit slow, masa suntuk, sebab masa tu dok sibuk settle tempahan customer. Saya kait dulu topi ni, mana tahu next time kalau ada lagi projek amal, topi ready dah ada. 


Ni masa mula start knit topi. Camtu la ropanya. Segitiga. 


Ni masa dah mula panjang sikit topi tu. Saya rasa, macam lebih kemas pulak stitches kita, knit guna DPNs ni, banding guna circular needles. Huuu.. perasan.


Camnilah ropanya bila topi dah semakin panjang. Benang ni pun buat topi jadi lain kot, sebab kalau guna benang akrilik, mesti dah bergulung dah bahagian permulaan topi tu. 


Dah siap! Muat ni, saiz lelaki dewasa. Dia agak stretchy juga. 

Pandangan sisi
Berjaya dah, cobaan saya knit topi guna DPNs sepenuhnya. Saya suka, dengan hasilnya, dan masa proses knitting tu pun, lagi senang.

Ok. Lusa dah sekolah. Huhu... cepatnya masa berlalu bila cuti sekolah ni. Waaaa....

Jumpa lagi ye..

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Baju Kurung Moden Terkini

$
0
0


Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat trend fesyen Muslimah semakin popular. Ini pastinya kerana, atas usaha penggiat fesyen tempatan yang bersungguh-sungguh cuba memperkenalkan trend baju Muslimah ke peringkat antarabangsa. Hasil daripada usaha tersebut telah membuahkan hasil yang cukup baik dan positif. Kita dapat lihat fesyen Muslimah berkembang maju dan diterima ramai di peringkat global.

Di Malaysia, trend dress Muslimah sebenarnya sudah lama sebati dalam kalangan pembeli. Namun jika hendak dibandingkan dengan dahulu, kini lebih banyak pilihan boleh dilihat dalam pasaran. Seiring dengan trend fesyen semasa, kita boleh mendapatkan baju kurung moden dengan rekaan yang lebih stylish. Selain daripada itu, jenis-jenis pakaian tradisional lain masih popular contohnya baju kurung, baju kebaya, jubah dan kaftan. Namun baju kurung masih dan dilihat akan terus menjadi pilihan utama dalam kalangan pencinta fesyen.



Setiap negara mempunyai jenis pakaian tradisional tersendiri dan tidak ketinggalan buat Malaysia. Namun kerana negara kita ini adalah negara yang berbilang kaum, kita dapat lihat lebih daripada satu jenis traditional wear yang ada. Namun pakaian tradisional Melayu adalah antara yang paling disukai dan mudah didapati. Hampir di mana-mana sahaja kita boleh mendapatkan baju kurung.

Apakah yang membuatkannya begitu popular di kalangan rakyat Malaysia? Antara faktornya adalah kerana, baju kurung sangat selesa untuk digayakan dalam apa jua keadaan dan ke mana jua kita mahu pergi lagi-lagi jika kita pakai baju kurung cotton yang diperbuat daripada kapas. Selain mencerminkan budaya Melayu yang penuh adab sopan, memakai baju ini akan membuatkan kita kelihatan lebih ayu dan manis. Bukan sahaja boleh dipakai ke majlis-majlis formal dan istimewa, malah ianya begitu sempurna untuk dipakai walau ke pejabat sekalipun.



Bagi Yati sendiri, sebagai surirumah, walaupun jarang mengenakan baju kurung, Yati lebih suka beli yang ready-made banding tempah di tailor. Memang dah lama tak tempah. Bila bulan puasa, atau hari biasa pun, senang je kalau nak beli baju kurung yang dah siap.


Terdapat banyak butik Muslimah online Malaysia di luar sana serta butik fesyen online yang menampilkan pelbagai koleksi baju kurung moden terkini dengan pilihan yang hebat. Jadi, apa tunggu lagi? Jom dapatkan baju kurung murah terkini secara online kerana ianya lebih mudah!

Pertama kali...

$
0
0
Pertama kali pertama
Saya tak pernah buat entri berbayar. Jadi, bila di approach oleh pihak Zalora untuk buat entri tentang Baju Kurung Moden Terkini tu, saya pun ok aje. Saja nak merasa macamana. Lepas publish entri tu, terus shopping guna voucher yang dia bagi. Nak tengok tak apa yang saya beli kat Zalora? ^_^

Mengikut turutan di atas, saya beli tudung denim satu yang regenya RM49, shawl chiffon satu yang regenya RM29 dan tudung aidijuma Blossom Bawal satu yang regenya RM20. Semua sekali rege RM98. Voucher saya guna bernilai RM100. Saya dah naik mabuk dah pilih apa yang nak dibeli. Memang banyak barang kat Zalora. Alhamdulillah..

Pertama kali kedua
Saya kan... tak pernah pergi mesyuarat PIBG sekolah anak-anak. Tapi tahun ni, saya pergi keduanya, baik yang sekolah menengah dan sekolah rendah. Selalu tarikh yang dia buat tu, hari sabtu. Hari Sabtu selalu pi nyongket. Ada je korje. Tapi tahun ni, saya tulis kat calendar awal-awal, bila dapat surat sekolah. So, selamat sudah. Yang mesyuarat PIBG sekolah menengah saya pergi sebelum cuti sekolah seminggu hari tu, manakala yang 2 budak kecik sekolah rendah ni, baru je meeting PIBG-nya pagi tadi. Sebenornya, mendengor ramai orang bercakap atau berucap bukanlah benda yang seronok bagi saya. Tapi tahun ni, saya nak tahu apa yang berlaku, pasal tu la saya pergi. Alhamdulillah... 

Pertama kali ketiga
Projek sambilan. Granny square. Kalau projek ripple tu, boleh lah digagahkan lagi. Tapi projek square-square ni, saya tak pernah buat. Saya cukup respek kawan-kawan jahit dan kait yang pernah buat projek hexagon la, granny square la. Ish, memang kena kesabaran yang tinggi untuk siapkan. 

Tu la angin mana datang tak tau. Bila saya tengok movie dan saya tengok omputih selalu letak sofa cover granny square atau apa-apa crocheted pieces, saya rasa cantik. Contohnya..


Stranger than Fiction. Comei granny square kat belakang tu kan... 


Scene dari 50/50. Kat sofa tu, jenis square yang kecik dan makin besar, dan besar... 

Jadi, saya pun teringin nak buat. Berikut progress saya setakat ni.


Tak tau bila boleh siap. Kalau rajin, akan jadi sofa cover. Kalau malas, mungkin jadi alas meja je. Kita tengok je la. 

Baiklah. 
Kita jumpa lagi ye.. ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Puasa dan progress granny square

$
0
0
Ok ke... template baru blog saya ni? Hehehe... template lama saya berubah warna, dulu sidebar kedua-dua belah color hijau, tetiba jadi putih, dah expired gamaknya template header burung tu. Errr.. template pun boleh expired ke? Itu lah sebabnya, saya tukor yang baru la pulak. Lagi pun, rasanya dah bertahun-tahun saya tak tukor template. Kemas-kemas apa yang patut. ^_^

Ate, apa citer? Misi ganti posa ler. Tapi, saya posa ari Isnin ngan Khamis je. Ingat kan, sempat la abiskan hutang. Tup tup itu bendera sudah naik, to be continued la pulak. Tinggal 1 ari je lagi.. ha... posa lone ranger ni mencabor sungguh yek. Menahan diri tengok orang lain makan. Lagi-lagi cuaca yang panas. 


Gambar di atas menunjukkan menu sahur pada satu hari. Nasi, kicap, sambal tumis ikan bilis, telor mata dan ikan masin. Walaupun nasi semalamnya kehabisan, pukul 4 pagi kena masak nasi juga buat bersahur, untuk kekal bertenaga sepanjang posa. Jenis kena makan nasik juga.

Tolak hari Isnin dan Khamis, hari lain kadang tak sempat nak beriadah. Anak yang sekolah petang ada aktiviti waktu pagi, jadi kena standby antor dan ambik. Kalau pi joging, berkejor-kejor pula. Jadi, elok dok rumah saja. 

Tapi bila ada kesempatan, saya coba pi lari juga.


Alang-alang lari, bior basah lenjun. 

Dari segi aktiviti mengait, tidak lah begitu membanggakan progress saya. Berikut progress projek granny square...


Saiz terkini baru mencecah lebih kurang 23 inci X 23 inci. Tak cukup gi nak jadi alas meja pun. Slow-slow kayuh.

Selamat berposa pada kawan-kawan yang berposa. 
Jaga diri dan keluarga di musim panas ini. 
Jumpa lagi ye. ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Gambor makanan dan crochet bekas air

$
0
0
Misi ganti posa pun dah berakhir dengan jayanya, Alhamdulillah. 
Lepas tu, ada hari tak berapa sihat. Mood mengait pun ke laut. 
Hari tak sihat bagi seorang ibu bukannya ada mc, kan. Kena kuatkan badan dan buat keje macam biasa, jadi berikut hasil masakan saya, yang saya sempat ambik gambar. Hehe..
Selalu tunjuk gambor produk kait je, kali ni, kita jamu mata tengok makanan pulak.

Daging masak black pepper
Beli daging sepeket je kat tesco, pastu campak kentang yang digoreng dengan lada benggala hijau dan merah. Makan lauk tu je, dengan nasi. Mmmm... dap! 

Le' cucuq ladoq
Cucur ikan bilis adabi tu, saya suka modify sebab kalau goreng yang dalam 1 paket tu, tak puas makan kami anak beranak. Jadi, saya campur tepung gandum dan self raising flour, sebiiji telor, gula, dan siaplah... cucuq buat minum petang.

Karipap kosong, takde inti.
Satu hari cuti tu, saya buat projek karipap ni. Lama dah rasanya tak buat karipap. Hafizan suka makan karipap kosong. Dia, Sulaiman dan husband sekali tolong buat karipap. Gambor di atas menunjukkan variasi doh karipap tu, bermacam bentuk dia orang buat, trip ketiga yang digoreng, baru sempat ambik gambar. 

Karipap inti ayam dan kentang
Saya pakai minced chicken je, sebab tu yang ada dalam peti ais. Tak pernah buat karipap inti ayam. Selalu daging je. Boleh ler. Anak-anak bila karipap takde inti dia orang habis, karipap berinti ni pun dia makan. Kita makan berapa bijik je. Huuu... anak, anak. 

Nak kata tak mengait langsung tu, idok juga. Adalah buat projek untuk Sulaiman. Poket tepi beg sekolah dia dah koyak, jadi nak letak bekas air dia tu, bahaya ler jugak, boleh tercicior tercicir kang botol air tanpa sedor. Oleh itu, saya pun kait satu super quick bekas botol air. 


Tudia.. pakai benang daiso yang tebal tu, cepat siap. Hehe..

Sekian la cerita. 
Maajun kuat salasa! Lemah-lemah anggota badan ler.. harap kawan-kawan semua sihat dan sejahtera belaka..

Jumpa lagi... ^_^

https://yatiandstitch.blogspot.my/


Progress projek kait

$
0
0
Pagi tadi, saya ikut workout di channel Lifetime (Li HD, channel 728). Blast belly fat workout. Ikut 50 minit je. Pengsan! Huii.. saya lebih suka lari dari buat cardio ler...! Mintak nyawa, mintak nyawa!

----------------------------------------

Projek granny square saya bergerak juga. Sikit-sikit.

Ni gambor dalam entri lepas yang saya ada update tentang projek ni.


Berikut pulak gambar progress saya, setakat semalam.


Semakin membesor... saiz terkini, 30 inci X 27 inci. 
Rasa macam nak buat projek baru. Tapi kalau saya start projek baru, takut projek yang ini jadi terbengkalai pulak. Ni la yang bosannya buat projek saiz besor ni. Harap kekuatan terus ada untuk saya siapkan. May the force be with me. Huuu...

Orait. Saya tak tau nak tulis apa lagi. Semoga hujung minggu kawan-kawan semua ceria, produktif dan bahagia bersama keluarga tersayang. 

Jumpa lagi ye... ^_^





Road trip Kedah dan Kelantan

$
0
0
Lamanya tak update blog. Lamanya tak buka komputer. Enjoying masa cuti sekolah sebaik mungkin. ^_^

20 May yang lepas, birthday saya yang ke.. ke.. berapa? Cer teka, cer teka...
38 tahun ler.. 
Syukur pada Allah, diizinkan olehNya, I see things differently now. Setiap hari, anugerah untuk kita perbaiki diri sendiri, lebih baik dari semalam. Alhamdulillah...

Masa cuti sekolah baru mula hari tu, kami pi roadtrip. Sebenarnya, nak balik Kelantan, sebab anak sedara husband kawin. Tapi sebelum tu, kami ingat, nak nyongket sat, jalan-jalan, tengok orang dan tempat lama. 

Gambar ni diambil lepas keluar Taiping

Kami plan tak nak ikut highway. Maka perjalanan pun bermula ikut jalan kampung, dari Lumut - Taiping - Changkat Jering - Nibong Tebal - Perai - Butterworth - Kulim. Sangkut tau kat Penang. Sebab signboard semua suruh masuk highway. Tu tersesat sampai Kulim. Bukak google maps juga, jumpa jalan biasa sambung trip, Gelugur - Sungai Petani - Gurun - Alor Setar. Sampai Kedah je la kali ni. Lain kali kita pi sampai Perlis naa... 

Jalan-jalan semua dah lain. Untuk pengetahuan pembaca semua, saya pernah sekolah kat Alor Setar selama 2 tahun, yakni masa darjah 5 dan 6. Tu la tempat-tempat utara ni ada sentimental value pada saya. Suami saya pun pernah kat ikm sungai petani. Jadi, down memory lane ler road trip kami ni.

Singgah lunch dan zohor di tesco sungai petani. Sambung perjalanan ke Alor Setar. Pakai redah je, tak de booking hotel. Hotel kedua kami masuk baru ada bilik yang available untuk family. Hotel JP namanya. Lokasi dekat stadium aloq staq. Port makan banyak sini waktu malam, jalan kaki je. 

Ni bilik family. Hafizan dan Sulaiman dok tengok apa ler tu kat tipon.
Ada wifi hotel ni. Kuat juga line nya. Kami suami isteri bilik asing, honeymoon. Hehe...

Ada pantri dan tempat makan. Bole buat kopi, air, etc, sebab ada kemudahan air panas dan sejuk. Bakor roti pun boleh ada toaster. 
Harga bilik sangat berpatututan. Adik yang jaga front desk kata, hotel ni baru buka 2 bulan. 

Malam hari jalan-jalan pi Aman Mall. Besor gila mall ni.
Masa saya dok Aloq Staq dulu, shopping complex yang ada cuma pasaraya peladang, hankyu jaya dan city point je. Hehe..

Keesokan harinya, breakfast kat tempat dekat je ngan hotel. Jalan kaki je. Sedap! Makan roti canai cicah kari utara. Pastu baru perasan kedai makan tu depan pustaka union. Sini la tempat saya cari buku dulu, masa sekolah kat SRK Sultanah Asma. Ada lagi kedai buku ni.... ^_^

Pustaka Union, Alor Setar

Lepas breakfast kami bertolak pi Kelantan. Road trip hari tersebut dari Alor Setar - Gurun - Sik - Baling - Gerik - Jeli - Rantau Panjang - Tumpat.

Gunung Baling
Jalan ni kami tak pernah lalu. Sebab pertama kali dari Kedah pi Kelantan. Biasanya, dari Perak ke Kelantan. Sangat cantik jalannya. Ada masuk pekan kecik. Ada juga naik bukit. Sejuk je suasana.

Sulaiman dan Hafizan main ngan kucing mek

Alhamdulillah... selamat sampai Tumpat. Belum hari kenduri lagi, mari kita nyongket dulu.

Tunggu tuan depan pintu
Whopper! 
Tiba-tiba gambar whopper pulak. Masa ni belum masuk bulan puasa. Kat Perak takde Burger King. Kat Kelantan, sampai 3 Burger King. Oleh itu, serbu!!! Pejam mata la berapa kalori dia. 


Sulaiman dengan ayam gorengnya.

Amirul dan Hafizan

Gambar di atas, masa hari kenduri. Anak sedara husband saya yang kawin. Lepas makan-makan kenduri, kami terus bertolak balik ke Perak. Huu.. sangat rushing la. Terpaksa balik sebab saya ada appoinment doktor keesokannya. 

Alhamdulillah, dah selamat sampai. Roadtrip semua ok, takde masalah, anak-anak dah tak muntah dah. Dah besor kot. Bila lapor, berenti makan, solat. 

Senja masa dalam perjalanan ke Kuala Kangsar dari Gerik
Camtu la ceritanya. 
Macamana cuti kawan-kawan semua?
Selamat berpuasa ye. Semoga kita dapat improve amal ibadat kita pada tahun ni, banding tahun lepas. 
Jumpa lagi. ^_^



Gambar makanan dan Granny Square dah siap!

$
0
0
13 Ramadhan.

Saya baru baca aritu kat twitter, lepas tu ada baca kat blog yang saya follow juga, yang rupa-rupanya ada orang kurang senang bila kita update gambar tentang makan, lagi-lagi di bulan puasa ni. 

Pada saya, saya suka tengok gambar makanan. Tak kira sama ada orang tu masak dan update, atau pun orang tu pergi makan luar dan update. Sebab saya boleh dapat idea nak masak apa. Sekarang dah masuk fasa termenung depan peti ais, tak tau nak masak apa dah. Jadi bila kita tengok news feed orang kat facebook ke, instagram ke, pasal makanan, kita boleh dapat idea atau inspirasi nak masak apa, kan. Kalau kita nampak buruk, maka buruk la ia. Kalau nampak baik, maka baik la ia. Pendapat saya saja.

Hmmm.. meh kita tengok gambar hidangan yang saya masak, dan ingat nak snap.

Ikan keli berlada
Saya ada pengalaman buruk dengan ikan keli. Saya pernah beli, pastu bila saya goreng, bau busuk satu rumah. Ikan keli tu masa saya beli nampak fresh je, tapi bila goreng boleh jadi camtu pulak. Camana nak makan benda yang bau camtu. Bukan bau wangi ikan goreng tau, bau busuk yang kena tutup hidung. Lepas tu, lama sangat saya tak masak ikan keli. Hingga lah baru-baru ni, ada pergi pasar Sitiawan, jumpa ikan keli hidup lagi. Wow.. ikan fresh ni, terus rasa nak makan. Kena mintak pakcik yang jual tu tolong 'katok' kepala ikan tu, ngan siang sekali. Saya takut pegang ikan yang masih hidup ni. Hehe.. Jadi, masak lah ikan keli berlada. Hmmmm... dap! ^_^

Ayam masak merah in the making...
Ayam masak merah ni memang peberet Sulaiman ngan Amirul. 

Sambal telor dan ikan bilis
Yang ini saya ikut resepi dari fb. Lain dari saya masak sambal cam biasa. Simple je, tapi boleh tahan juga, selera sikit makan nasi sahur.

Ayam kicap pedas
Lama tak masak ayam kicap. 

--------------------------------------------------------------

Cerita hasil kait pulak.

Dah siap dah projek granny square saya! Yahoooo...! Lega...


Besar tu je la yang saya mampu buat. Tak larat dah. Saya cukup tabik dengan orang yang boleh kait sampai jadi saiz cadar tu. Memang terer la. 


Boleh la buat alas sofa 2 seater. Den tak mampu nak teruskan sampai sofa 3 seater, lain tahun la pulak yo.. 


Jemput ke kedai kalau nak tahu saiz dan harganya, mekasih. 

Dah boleh dah nak start projek kueh raya ni. Kena carik buku resepi kueh raya ni, mana pulak saya dah campak. 
Saya tak beli kueh atau kerepek raya lagi setakat ni, baju raya pun tak ada lagi. Saya dah 2-3 tahun pakai baju raya lepas-lepas. Baju kurung yang ada semua elok-elok lagi, sebab setahun pun pakai masa hari raya dan kenduri je. Tapi tudung raya saya beli, tiap-tiap tahun. Hehe... Mungkin beli baju untuk anak-anak, sebab deme ni kaki dah panjang, cepat benor membesor. 

Selamat ye, jumpa lagi... ^_^



Fabric yarns

$
0
0
25 Ramadhan 1437H.


Projek kitar semula baju-baju lama, yang dah koyak. Saya gunting-gunting, dari minggu lepas lagi, tak siap-siap. Buat sikit-sikit, bila lapang.

Kueh raya pun saya tak buat lagi. (tapi kueh tunjuk ada ler beberapa jenis). Baru-baru ni, ada ujian yang menimpa keluarga kami. Tulang ibu jari suami saya dislocated.  


Saya tak nak la cerita in detail sangat, sebab saya ngeri. Saya takut sangat masa tengok doktor-doktor tarik kaki suami saya, nak betulkan tulang tu. 2 hospital tau, pergi. Masa kat wad pemerhatian, 4 doktor tau, tarik kaki suami saya, guna wayar! Tapi tulang tu tak nak balik ke posisi asal.

Mula-mula ikhtiar ubat kat Batu Gajah. Cuma baru-baru ni, dapat pergi urut tak berapa jauh dari sini. Setelah 2 kali urut, baru ok. Alhamdulillah... kalau tak ok, tak tau la camana nak balik raya, jauh Kelantan tu. Saya drive ke Kelantan? Huhu... mau 10-12 jam jugak baru sampai, bawak kete tak berani potong kalau lori dok depan. Hehe..

Syukur Alhamdulillah... semua dah ok. 

Seandainya tiada entri baru lagi lepas ni sampai raya, saya nak wish pada pembaca blog saya yang saya sayangi dan hargai sangat ni, minta ampun dan maaf kalau ada tulisan saya yang menyinggung perasaan dan sebagainya. Selamat hari raya puasa, hati-hati di jalan raya, habiskan masa  berkualiti dengan keluarga, and be safe. 

Take care, jumpa lagi. Selamat Hari Raya! Maap zahir batin... ^_^


Bila fingerprint does not match...

$
0
0
Sekarang banyak sistem biometrik digunakan, kat bank-bank, pejabat pos, agensi kerajaan mahu pun swasta. Bagi yang pakai sistem biometrik ni untuk rekod kedatangan pekerja memang bagus, jadi pekerja tak boleh tolong punch card bagi pihak kawan. Susah sikit nak menipu.

Contoh sistem biometrik. Mycard reader dan fingerprint scanner. Photo credit to Sagem.

Tapi bila untuk urusan keluar duit misalnya, bila ibujari kita tak match dengan sistem, agak leceh juga, sebab pihak bank akan mintak photostat ic. Kalau bank tolong photostat kan, ok juga. Tapi camana kalau kita yang kena buat sendiri. Kalau rajin, boleh cari kedai, pastu pergi balik kat bank. Tapi kalau kita ada urusan lain ke, malas ke, nak pergi lagi, dah kena pergi hari lain. Itu lah yang terjadi kat saya, saya nak tukar kad ATM saya, tapi ibujari saya tak match dengan sistem. Mykad dah masuk. Bila tenyeh ibujari kanan, tak match. Tenyeh ibu jari kiri pun tak match. Benda ni berlaku masa nak ambik nombor giliran. Jadi, kena isi borang lain, sebab fingerprint tak match. (Cubaan pertama)

Jangan tanya saya, kenapa boleh jadi camni. Saya tak minta benda ni terjadi. Kalau boleh, sebagai pengguna, dah tentu kita nak urusan kita selesai secepat mungkin, tanpa masalah.

Saya kembali keesokannya, sebab kena photostat 3 benda, yakni ic, lesen dan kad atm, untuk pengesahan. 

Lepas ambil nombor, boleh proceed ke kaunter, kita cuba lagi letak ibujari. Sudah tenyeh ibujari kat hidung sikit, kasi berminyak. (mungkin ibujari kering). Tak boleh. Staff di kaunter bagi baby lotion, kita cuba lagi. Dua-dua belah ibujari tak match juga. (Cubaan kedua)

Bila sampai ke tempat pengeluaran card, kena test lagi thumbprint. Bila ada include photostat ic, lesen, bagai, dia tanya, kenapa ibujari tak match? Cuba bagitau saya, camna saya nak jawap soalan tu? Bahaya kalau tak match dengan sistem ni, kena minta jumpa branch manager dia, dia cakap. Aiyakk... saya faham, pihak bank mesti takut orang tipu ke kan, curi ic orang, lepas tu nak take over account orang.
Ok, sebelum tu, kita cuba dulu. (Cubaan ketiga). Dia bagi try lotion dia pulak. Calit sikit, sapu rata pada ibujari.

Bodyshop Cocoa Butter Lotion. Photo credit: Bodyshop
Sekali letak ibujari kanan, terus match! Wow... lega saya. Selesai sudah urusan, dapat kad baru. Yeh.. Alhamdulillah... 

Ini bukan entri berbayar. Saya tak terima komisen pun atas jualan losen Bodyshop kat atas. Saya cuma nak kongsi penyelesaian, bagi sesiapa yang ada masalah fingerprint tak match, macam saya. 

Saya ada buat bacaan sikit tentang masalah ibujari ni. Rupa-rupanya bukan saya seorang yang alami. Ada satu blog tu, saya baca, staff bank tu siap cakap makcik ni punya ibujari dah rosak. Dah jadi lumrah alam, kita cuma nampak salah orang lain, salah sendiri, cer selidik sikit, kot alat kita malfunction ke, dah berapa tahun pakai, tak tukor, sensor dia dah kurang ke, wallahualam... saya bukan pakar dalam hal ni. 

Apa-apa pun, setiap yang berlaku tu ada hikmahnya. Hikmahnya bagi saya, bila saya kena photostate lesen, baru saya sedar yang lesen memandu saya tu dah 2 bulan expired. Dah lebih 2 bulan saya drive sini sana, dengan lesen yang mati! Astagaaa..... first time ni, terjadi. Saya selalu renew sebelum birthday saya. Itu lah dia, hikmahnya, Allah ingatkan kita, kan.... Lagi satu, ada pendapat mengatakan sabun pencuci pinggan mangkuk boleh buat ibujari kita jadi hilang jalur-jalur unik pada jari tu, sebab benda tu kuat kan. Pun pendapat orang juga, tidak tahu sahih ke tak.

Sekian perkongsian saya. Harap bermanfaat pada yang berkenaan. ^_^

Crocheted Alas kaki

$
0
0
Ingat tak, saya ada cerita pasal projek recycle tu, yang kain dan baju lama, saya gunting-gunting, jadikan fabric yarn?
Repost balik gambar entri sebelum raya
Haa.. saya buat lapik kaki daaa.. 

Kalu kat rumah, memang selagi boleh pakai, selagi tu la saya pakai, walaupun koyak dan kolar dah tak serupa kolar. Bila sedara datang rumah, dia orang pun tegur, "Ape le daif benor baju hang ni...", tapi saya lagi suka, sebab selesa dipakai. Nak sedekah kat orang dah tak sesuai, jadi saya recycle buat benda lain, contohnya dalam kes ni, lapik kaki.


Lapik kaki ke, alas kaki, orang panggil, omputih panggil rag rug. Kali ni, saya cuba buat lain sikit. Saya crochet je kain-kain recycle tu, benang pulak saya guna baki projek lepas-lepas. Gambar di atas masa mula-mula start. 

Saya tak cantum-cantum pun kain-kain yang saya gunting tu, untuk jadikan fabric yarns. Mode malas. Ini je la cara senang saya jumpa. 

Kalau kain recycle tu nipis sangat, saya guna 2 je, bior tebal sikit.


Haaa... dah siap pun, buat alas kaki. Lebih kurang saiz alas kaki standard yang bulat tu. Kalau rajin, buat besor-besor, boleh jadi macam carpet tu. Hehe.. Saya letak dalam rumah. Kalau letak kat bahagian dapur ni, mesti jadi port kucing duduk. 

Ada lagi baki kain-kain recycle, boleh buat color lain pulak lain kali, time rajin (ye la tu). 

"Macam lawa je." Bukan saya cakap, suami cakap. 

"Sayang nak guna lap kaki. "
"Alaaa... guna je. "

Nanti saya buat lagi banyak-banyak, dalam setiap bilik tidor satu, masuk rumah satu, keluar setiap bilik air satu... hehe..

Sekian laporan hasil kraftangan terkini.

Eh, hari tu saya cerita pasal tragedi di bank tu kan... itu hari CIMB. Dalam minggu ni, saya ada ke Maybank, ok le pulak, sekali letak jari je dah pass, boleh kuor duit. Hehe.. Boleh jadi bukan salah jari saya ler, salah alat orang tu yang kurang peka, kikih... ops..

Jumpa lagi ye, take care semua... ^_^

http://yatiandstitch.blogspot.my/


Viewing all 58 articles
Browse latest View live